Skuad papan selaju negara optimis mampu menyumbang pingat pada penampilan sulungnya di Sukan Asia Indonesia yang akan bermula dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Ketua jurulatih Papan Selaju Kebangsaan, Mohd Zamri Mohd Ramli berkata, beliau yakin akan kemampuan anak-anak buahnya untuk menghadapi saingan di Sukan Asia nanti walaupun pertama kali bertanding di peringkat Asia.

“Prestasi pemain negara setanding dengan atlet dari Hong Kong, Thailand dan Indonesia. Namun, kami sedar akan saingan sengit wakil dari Jepun.

“Saya yakin atlet negara mampu mencipta kemenangan setimpal dengan persiapan yang dijalankan. Walaupun mereka masih belum mengikuti latihan berpusat namun atlet-atlet negara bersemangat untuk membawa cabaran Malaysia di Sukan Asia itu nanti,” katanya pada sidang akhbar Angka Tour 2018 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertemu dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membincangkan tentang program latihan yang lebih teratur dan efektif sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia dan juga Sukan Olimpik. – Bernama

Sumber : Kosmo Online

Foto Kredit : sarawakiana(dot)com