Arkitek tengah hoki negara, Fitri Saari mahu membuktikan betapa dia kini setaraf dengan pemain tengah terbaik dunia lain apabila membuat penampilan keenam pada saingan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-27 di Ipoh bermula 3 Mac ini.

Sebagai rekod, pada edisi tahun lalu bintang negara berusia 25 tahun itu beraksi cemerlang sepanjang kejohanan itu biarpun Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada enam pasukan.

Namun, hajatnya untuk mengulangi prestasi sama mungkin sukar jika mengambil kira senarai pasukan yang mengambil bahagian kali ini – pasukan nombor satu dunia Australia, Argentina (kedua), India (keenam), Ireland (ke-10) dan juara bertahan Great Britain.

Pasukan berkenaan sudah pasti akan membawa nama-nama besar seperti Jake Whetton (Australia), Sardar Singh (India), Ignacio Ortiz dan Joaquin Menina (Argentina) serta Barry Middleton dan David Condon (Great Britain).

Fitri bagaimanapun langsung tidak goyang sebaliknya bintang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu bertekad untuk membuktikan yang dia tidak akan ‘tenggelam’ dengan kehadiran pemain ternama dunia itu.

“Sebenarnya kami tidak begitu meletakkan harapan tinggi kerana sasaran utama adalah Sukan Asia Jakarta 2018, ia hanya sebahagian daripada proses untuk kami mencapai kemuncak prestasi sebelum bermula Sukan Asia.

“Tetapi ia tidak bermakna kami akan beraksi sambil lewa, seboleh-bolehnya saya mahu pastikan saya boleh memberi cabaran kepada setiap lawan dan tidak sesekali akan membenarkan mereka memandang rendah keupayaan kami.

“Bagi saya PSAS tetap penting kerana ia menjadi platform untuk kami membina keyakinan dan mendapat penghormatan daripada pasukan lawan sebelum Sukan Asia,” katanya.

Ditanya sama ada kehadiran import bertaraf dunia dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini membawa impak positif kepadanya, Fitri menjelaskan: “Ya. Banyak yang kami (pemain tempatan) belajar daripada pemain import ini.

“Mereka ini pemain import berkelas dunia, banyak yang kami belajar dari segi sikap mereka dalam padang. Apa yang membezakan, mereka begitu berdisiplin dan bijak dalam mengawal kemarahan apabila berada dalam keadaan tertekan.”

Sumber: Harian Metro

Foto Kredit: thefansofhockey.com