Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mungkin tidak gembira dengan situasi yang dihadapinya ketika ini di United, kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Pogba yang dilihat mengalami kejatuhan prestasi di bawah kendalian Jose Mourinho bersiap sedia untuk aksi persahabatan menentang Colombia awal pagi Sabtu dan tuan rumah Piala Dunia, Russia Selasa depan.

Dia yang kebelakangan ini bergelut untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama tidak diturunkan ketika menentang Liverpool akibat kecederaan, muncul sebagai pemain gantian ketika tewas 1-2 di tangan Sevilla dan sekadar memanaskan bangku simpanan ketika menewaskan Brighton Sabtu lalu.

Ditanya sama ada beliau akan cuba memulihkan keyakinan Pogba ketika bersama skuad Perancis, Deschamps menjelaskan situasinya dalam sidang media.

“Ia bukan saja membabitkan Paul. Perkara ini berlaku apabila seseorang pemain mengalami situasi tertentu di sesebuah kelab. Ia mungkin Paul atau orang lain dan seperti biasa apa yang saya lakukan adalah bercakap dengan mereka untuk memahami keadaan kerana saya tiada maklumat itu.

“(Mengenai Pogba)… Saya tidak tahu mengapa dan bagaimana ketika ini tetapi jelas sekali ini situasi yang tidak akan dihargainya berbanding dengan apa yang dilakukan. Terdapat pelbagai punca yang boleh dikaitkan, mungkin dia tidak gembira dengan apa yang dilaluinya di kelab itu.”

Pogba yang merupakan pemain termahal United dengan berharga 89 juta pound yang dibeli dari Juventus pada 2016 terdesak untuk kembali mendapatkan rentak seperti di awal musim dan terpaksa berebut tempat dengan Scott Mctominay di jentera tengah. – Reuters

Foto Kredit : skysports(dot)com