Kalau di luar negara mempunyai WWE atau di kenali sebagai World Wrestling Entertainment yang penuh dengan aksi dan watak menarik ahli-ahli gusti seperti John Cena dan The Undertaker di Malaysia tidak kurang hebatnya. Gusti professional sudah luas tular di dalam negara kita dengan aksi padu setanding antarabangsa.

Gusti Professional merupakan sukan hiburan gabungan kemahiran dan persembahan seperti gaya atletik dan akrobatik unik. Dicetuskan revolusinya di Malaysia oleh Malaysia Pro Wrestling berpandukan teknik latihan dan pembelajaran Dr. Tom Prichard, ketua program pembangunan bakat pertama WWE.

Sebahagian besar tulang belakang untuk acara MYPW Resurgence X Lalang Squad di sidang media yang berlangsung semalam.

Mempunyai komuniti penyokong tegarnya tersendiri, “Fanatik Gusti” yang dikenali sebagai Lalang Squad sentiasa memberikan sokongan padu terhadap gusti professional tempatan yang masih di anggap enteng oleh sesetengah pihak dan bercita-cita untuk membawa nama gusti professional tempatan (MyPW) hadir dalam kelompok penyokong gusti luar yang lebih besar dan ramai.

MyPW yang mula dipelopori pada 14 Mac 2014, kebelakangan ini menerima peningkatan jumlah penggusti baru yang telah menyertai pusat pembangunan bakat MyPW (MyPW Developmental Centre) sejajar dengan minat dan keghairahan mereka yang bercita-cita menjadi ahli gusti professional dan bertanding di dalam gelanggang (Ring) dapat menghiburkan penonton.

Antara poster perlawanan dan gambar sesi latihan di MyPW Developmental Centre

Bagi penyokong yang mengikuti dan meminati bintang gusti di luar pasti akan teruja dengan acara terbesar gusti tempatan pada permulaan tahun 2018 ini. Acara yang diberi nama MyPW Resurgence merupakan gabungan ahli gusti professional dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Selain daripada dapat menghiburkan penonton dengan aksi secara langsung, pertarungan yang berlangsung selama dua jam setengah ini akan mempamerkan bakat serta perjuangan mereka dalam memertabatkan sukan gusti professional di Malaysia sekaligus membawa nama Malaysia ke persada dunia sukan gusti antarabangsa.

Untuk edisi kali ini, kedua-dua buah negara akan menampilkan jaguh-jaguh terhebat mereka seperti Singapura yang dibarisi oleh Greg Glorious, The D dan The Ladykiller. Sementara Malaysia memperjuangkan pengasas MyPW Shaukat, The Kid dan Daryl Wong bagi merebut beberapa kejuaraan tali pinggang yang dipertaruhkan.

Secara keseluruhannya, terdapat lapan perlawanan yang akan dipertandingkan. Antara perlawanan yang menarik seperti perlawanan empat penjuru antara The Kid dan Daryl Wong dari Malaysia serta Asykal Rasyid dan The D dari Singapura bagi merebut kejuaraan tali pinggang MyPW Wrestlecon.

Perlawanan empat penjuru antara The Kid dan Daryl Wong dari Malaysia serta Asykal Rasyid dan The D dari Singapura bagi merebut kejuaraan tali pinggang MyPW Wrestlecon.

Namun, perlawanan yang dinantikan pasti tertumpu pada pertembungan epik antara dua bintang gergasi dari dua buah negara iaitu Shaukat menentang Greg Glorious dalam perlawanan 30 minit “Iron Man” untuk kejuaraan tali pinggang MyPW World To Regional sekaligus mencipta sejarah perlawanan pertama seumpamanya dipertandingkan di Asia Tenggara.

Shaukat menentang Greg Glorious dalam perlawanan 30 minit “Iron Man” untuk kejuaraan tali pinggang MyPW World To Regional.

MyPW Resurgence akan berlangsung di KuAsh Teater, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 31 March ini.

Untuk tempahan tiket anda boleh menghubungi 0122922780 atau ke laman Instagram: Lalang Squad.