Connect with:




Edisi pertama penganjuran cabaran berkayak arus deras BDB Rafting Kulim menyaksikan penguasaan pasukan dari Gopeng, Perak yang menjuarai kedua-dua kategori dipertandingan pada Sabtu lalu.

One Trillion dari Ipoh berjaya memenangi kategori lelaki selepas menamatkan perlumbaan sejauh 600 meter dengan catatan masa keseluruhan 1 minit 54.450 saat. Berada di tempat kedua ialah pasukan Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) Gopeng sementara pasukan Libang berada di tangga ketiga.

Kategori campuran juga dimenangi pasukan yang berpusat di Gopeng iaitu Radak Adventure. Radak menewaskan BGA di tempat kedua dan Kelab Sukan dan Rekreasi Sedim (KSRS) di tempat ketiga. Selaku juara, One Trillin dan Radak menerima hadiah berupa wang tunai RM 1000 dan sijil penyertaan dan medal. Tempat kedua pula membawa pulang RM 800 diikuti RM 600 untuk pemenang tempt ketiga. Hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Sebanyak 23 pasukan dari seluruh negara menyertai acara ini dengan 15 pasukan bertanding dalam kategori lelaki manakala 10 lagi bertanding untuk kategori campuran.

Izham ketika ditemui media ternyata berpuas hati dengan sambutan dan maklum balas yang diterima beliau oleh para peserta pada edisi pertama ini.

“Ramai yang meminta agar acara ini dipertandingkan lagi pada tahun hadapan. Saya juga melihat acara ini berjaya membantu memperkenalkan Sungai Sedim sebagai produk pelancongan ekstrem di selatan Kedah.

“Secara keseluruhan, BDB Triple Challenge tahun ini berjaya membawa pasukan-pasukan dari luar negeri Kedah untuk menyertai acara-acara yang kita anjurkan seperti di Langkawi, Jitra dan Kulim. Ia membuktikan usaha BDB untuk membantu memperkenalkan produk pelancongan Kedah kepada orang luar” kata Izham.

Izham turut menambah pihaknya akan mengumumkan perancangan untuk edisi 2018 pada Januari ini dengan beberapa destinasi baru mungkin menjadi lokasi pilihan penganjuran acara BDB Triple Challenge.