Connect with:




Pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Natxo Insa akhirnya akan membuat penampilan sulungnya mewakili Malaysia.

Ujian pertamanya akan menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional di Bukit Jalil Khamis ini, diikuti dengan perlawanan kumpulan kelayakan Piala Asia Kumpulan B menentang Lebanon di Beirut pada 27 Mac depan.

Sehubungan itu, Natxo mengambil kewarganegaraan Malaysia selepas menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta’zim pada permulaan musim lalu.

Terdahulu, pemain berusia 31 tahun itu memilih untuh menangguhkan menyarung jersi Harimau Malaya atas sebab dia mahu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam Liga Malaysia (Liga M). Manakala, adiknya iaitu Francisco Javier Insa, yang lebih dikenali sebagai Kiko Insa, telah menandatangani kontrak bersama Pahang musim lepas dan terus membuat enam penampilan dengan pasukan kebangsaan.

Natxo, yang memainkan peranan penting membantu banteng JDT memenangi Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu, kini dijangka akan mengembangkan lagi kemahirannya di pasukan kebangsaan.

“Kami mempunyai skuad campuran pemain muda dan berpengalaman dan kami berkerjasama membina momentum satu pasukan untuk masa depan.

“Saya gembira berada di sini, “kata Natxo di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

” Mempunyai rakan sepasukan dari JDT disini adalah perkara yang baik kerana saya tahu gaya permainan mereka. Saya juga bermain menentang pemain lain di sini dalam Liga M.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengenali rakan sepasukan saya dengan lebih baik dalam masa yang singkat untuk mempersiapkan diri dalam perlawanan seterusnya.”

Sebelum ini, dia telah bermain di Sepanyol termasuk Valencia, Villarreal, Celta Vigo, Real Zaragoza dan Levante.

Dalam pada itu, adiknya Kiko, merupakan satu-satunya pemain Malaysia bermain di luar negara mewakili kelab Thai Bangkok Glass, tidak dapat menyertai latihan semalam kerana dia mengalami kecederaan jangkitan sakit mata.