Connect with:




Hasrat skuad futsal kebangsaan bimbingan Chiew Chun Yong untuk mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Futsal AFC, lebur selepas kecundang 1-3 kepada Bahrain pada aksi terakhir kumpulan A, semalam.

Kekalahan ini sekali gus meranapkan impian pasukan negara untuk mencipta sejarah layak ke suku akhir buat kali pertama dalam kejohanan tersebut.

Walaupun skuad negara memulakan kempen kejohanan dengan kemenangan ketika menewaskan Vietnam 2-1 sebelum kecundang 4-5 kepada pasukan tuan rumah, Taiwan  kelmarin menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan.

Pada aksi semalam, skuad negara yang memerlukan kemenangan untuk memastikan slot di suku akhir dikejutkan dengan gol awal Bahrain pada minit ketiga oleh Ahmed Abdulnabi.

Tersentak dengan jaringan awal Bahrain, skuad negara memperkemaskan corak permainan namun kealpaan pemain negara sekali lagi dihukum oleh Ahmed apabila meledak gol kedua empat minit kemudian.

Mohamed Al Sandi menambah derita pasukan negara dengan gol ketiga pada minit ke-40 ketika skuad kebangsaan bertungkus lumus melancarkan serangan untuk menyamakan kedudukan.

Chun Yong berkata, dua jaringan pantas Bahrain menyukarkan anak buahnya untuk bermain seperti biasa dan terpaksa bermain di bawah tekanan.

“Bahrain bermula dengan sangat baik dan strategi mereka untuk mendapatkan gol awal berjaya sehingga menyukarkan kami. Belum sempat pemain saya bangkit, mereka sudah meledak dua gol. Kami bermain dengan baik dan menguasai permainan pada babak kedua.

“Kami terpaksa menggunakan ‘power play’ untuk mendapatkan gol kerana pertahanan Bahrain sangat baik, namun nasib tidak menyebelahi kami”, katanya.

Mengiringi Bahrain ke suku akhir adalah Vietnam yang muncul juara kumpulan selepas menewaskan pasukan tuan rumah Taiwan dengan 3-1.