Connect with:




Kecewa! Itulah perasaan yang muncul selepas skuad senior Harimau Malaya memulakan langkah sumbang bagi saingan pertama tahun ini dengan keputusan yang tidak memuaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), semalam.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa itu menyaksikan skuad Mongolia dibarisi ramai pemain separuh professional.

Ia ujian pertama buat Cheng Hoe apabila beliau sebelum ini menjadi penolong kepada Nelo Vingada yang meletakkan jawatan susulan prestasi buruk tanpa sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan kendaliannya tahun lalu.

Kesebelasan utama Malaysia menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa yang agak mengejutkan lagi, pemain pertahanan Le’Vere Corbin Ong tiada dalam senarai pemain kesebelasan utama manakala penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Haziq Nazli dan Natxo Insa, selaku pemain yang baru menyertai skuad kebangsaan berada dalam kesebelasan utama.

Babak pertama menyaksikan skuad kebangsaan lebih mendominasi perlawanan. Namun, pada minit ke-15, percubaan Ahmad Hazwan Bakri dibantutkan oleh penjaga gol lawan, Munkh-Erdene Enktaivan.

Minit ke-30, sekali lagi percubaan Malaysia disekat hasil dari tandukan Mahali Jasuli tidak mengena gawang.

Kebuntuan itu termati seketika apabila jaringan yang dinantikan pasukan tuan rumah berjaya terhasil pada minit ke-31 selepas kapten Mongolia, Turbat Daginaa tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola sepakan sudut Safawi Rasid.

Namun, skuad bimbingan Michale Weiss menamatkan keceriaan 10, 200 penyokong negara hasil rembatan padu Enkhibileg Purevdorj menewaskan Haziq pada minit ke-42.

Permulaan babak kedua menyaksikan Cheng Hoe membuat percaturan dengan kemasukan pemain paling muda berusia 19 tahun, Akhyar Rashid berjaya mengubah nasib skuad kebangsaan apabila meledak gol menerusi rembatan deras dalam kotak penalti pada minit ke-65.

Ia merupakan ‘debut’ buat Akhyar Rashid dalam skuad senior negara dengan jaringan gol yang dilakukannya.

Debut Akhyar Rashid bersama skuad ‘senior’ negara dengan menjaringkan gol di awal babak kedua.

Namun, kegembiraan penyokong terus lenyap selepas pemain tengah, Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv menjaringkan gol penyamaan 2-2 di minit ke-71.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di SNBJ pada 16 Jun 2015 ketika tewas kepada Palestin 0-6 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Selepas ini Harimau Malaya akan bertandang ke Beirut bagi aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan Selasa depan sebelum berdepan Nepal bagi aksi persahabatan antarabangsa di SNBJ pada 1 April.