AS Roma melakar kejutan terbesar Liga Juara Juara kali ini selepas menumbangkan Barcelona 3-0 dalam aksi suku akhir kedua sekali gus layak ke separuh akhir di Stadio Olimpico, awal pagi tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu menyaksikan mereka mengatasi defisit 4-1 selepas tewas pada aksi pertama dan mara menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas agregat 4-4.

Roma tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan apabila penyerang Edin Dzeko membuka tirai jaringan seawal minit keenam hasil umpanan De Rossi.

Jaringan itu membuatkan para pemain Roma bersemangat memburu gol dan hasilnya mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Dzeko dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Gerard Pique pada minit ke-58. Kapten Roma, Daniele De Rossi tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Barca, Marc-Andre Ter Stegen.

Barcelona kembali mengatur rentak permainan untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol namun sukar kerana keampuhan bahagian pertahanan Roma yang diketuai Kostas Manolas.

Manolas muncul wira pasukannya selepas menanduk masuk gol kemenangan pada baki lapan minit terakhir permainan sekali gus menyingkirkan Barcelona daripada saingan Liga Juara Juara.

“Apa yang penting, kami menewaskan pasukan terbaik di planet ini dan mara ke separuh akhir,” kata Manolas.

De Rossi berkata, kejayaan ini amat bermakna buat dirinya dan juga pasukan.

“Bayangkan betapa besarnya kejayaan ini buat kami.”

“Ia lebih daripada apa yang saya harapkan untuk malam ini,” katanya.

Kali terakhir Roma layak ke separuh akhir Liga Juara Juara adalah pada tahun 1984, namun tewas di pentas final di tangan Liverpool.

Keputusan perlawanan lain menyaksikan Liverpool menewaskan Manchester City 2-1 dan layak ke separuh akhir Liga Juara Juara. – AFP

Sumber : My Metro

Foto Kredit : REUTERS