Kempen skuad hoki wanita negara di Sukan Komanwel semakin samar apabila mudah ditundukkan England 0-3 di Kelab Hoki Gold Coast, hari ini.

England yang merupakan pasukan di ranking kedua dunia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Eleanor Watton menjaringkan gol pertama pada minit ke-6 disusuli gol kedua pada minit ke-34 dan Sophie Bray melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-52 sekali gus membawa England ke separuh akhir.

Malaysia yang memulakan kempen Sukan Komanwel dengan tewas kepada India pada perlawanan pertama dan seri dengan Afrika Selatan akan berdepan Wales pada aksi berikutnya.

Pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, mengakui anak buahnya bukan lawan England.

“Mereka bermain dengan pantas dan sukar unutk mengekang pergerakan mereka,” katanya yang mengakui peluang ke separuh sudah tertutup.

Walaupun anak buahnya bermain baik, jurang mutu permainan yang dimiliki pasukan ternama menyukarkan misi mereka.

“Sudah tiba masanya untuk keluar daripada kebiasaan menentang pasukan berstatus kelab ke pasukan ternama untuk menguji keupayaan.

“Apabila pasukan di ranking 22 dunia menentang pasukan di tangga kedua dunia memang sukar untuk mengatasi mereka. ”

Sumber : My Metro

Foto Kredit :bacalahmalaysia(dot)com