Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah melakukan kejutan di Sukan Komanwel apabila memenangi pingat gangsa dalam acara 100m T12 di Stadium Carrara dan menjadi atlet kedua negara selepas Hisham Khaironi meraih perak di Manchester pada tahun 2002.

Afiq merekod masa 11.28s di belakang dua atlet Afrika Selatan, Ndodomzi Ntutu dan Hilton Lagenhoven masing-masing emas dan perak dengan catatan 11.02s dan 11.27s.

Sebelum itu, Afiq memecahkan rekod kebangsaan dan catatan terbaik peribadi dengan merekod masa 11.20s untuk mara ke final.

Menurut Afiq, beliau berpuas hati dengan pungat ini dan segala pengorbanan yang dilakukan sebelum ini berbaloi.

“Bukan mudah dan mengambil banyak masa untuk sampai ke tahap ini.”

“Kejayaan ini saya tujukan kepada keluarga dan jurulatih (Adnan Md Ali) yang banyak membantu, membimbing dan memberi tunjuk ajar hingga sampai ke tahap sekarang. Tidak lupa juga kepada rakyat Malaysia.”

Beliau menambah, dia tidak meletakkan sasaran pingat dalam kejohanan terbesar seperti Komanwel kerana dia menganggap ini kejohanan tertinggi pernah disertainya.

“Jurulatih hanya meletakkan sasaran ke final.”

“Memecahkan rekod kebangsaan saja pun sudah cukup membuatkan saya puas hati.”

Sumber : My Metro