Selepas mempamerkan persembahan cemerlang meledak dua gol ketika membantu Manchester United menewaskan musuh setempat Manchester City 3-2, Paul Pogba dikatakan telah ditawarkan kontrak untuk  bermain bersama City.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata bahawa ejen peribadi pemain itu Mino Raiola telah menawarkan Pogba untuk bermain di City pada Januari lalu.

Mari kita lihat apa yang bakal berlaku jika Pogba berpindah ke Etihad :

 

1. Pemain yang berbeza

Pogba merupakan seorang yang ‘attack-minded’, seorang pemain yang suka menyerang dan menjaringkan gol. Namun,di bawah kendalian Jose Mourinho, dia tidak mempunyai kebebasan untuk menyerang kerana terpaksa membantu bahagian pertahanan. Situasi ini menyebabkan Pogba mengalami kemerosotan prestasi, tidak sama ketika bermain bersama Juventus.

Pogba mungkin boleh menjadi pemain yang lebih baik jika bermain di bawah kendalian Guardiola yang menggunakan taktik menyerang. Namun, bagi seorang yang bermain secara individu, pasti sukar untuk mengadaptasi gaya permainan berpasukan yang diterapkan Guardiola.

 

2. Dominasi Fernandinho, Silva dan KDB

Guardiola menyatakan bahawa Pogba adalah seorang pemain berkelas dunia tetapi itu tidak bermakna dia mampu menguasai jentera tengah City. Man City kini bermain tiga pemain tengah iaitu Fernandinho, Silva dan De Bruyne.

Pogba sememangnya ‘kurang’ dalam bertahan jika mahu menggantikan Fernandinho. Selain itu, jika mengikut prestasi semasa, tidak ramai yang akan memilih Pogba berbanding Silva dan KDB.

 

3. Jalan keluar buat Gundogan?

Gundogan dikatakan bakal dijadikan ‘kambing hitam’ jika City mahu mengambil Pogba kerana gaya permainan Gundogan lebih kurang sama dengan Pogba.

Gundogan juga bukanlah pilihan utama Guardiola untuk mengemudi jentera tengah Man City dan walaupun dia tidak melakukan kesalahan dalam aspek persembahan, tetapi dari segi kualiti Pogba lebih menyinar.

 

4. City ‘tiada duit’

Ketika sidang media, Guardiola menyifatkan Pogba sebagai pemain bertaraf dunia tetapi pihaknya tidak mampu untuk membeli Pogba. Ini bukan kali pertama Guardiola berkata demikian.

Dia berkata perkara yang sama sebelum menandatangani pemain pertahanan bernilai $60juta dan mengemukakan tawaran sebanyak $70juta untuk Mahrez.

Walaupun Guardiola menandatangani Pogba, dia tetap akan berkata bahawa City tidak mempunyai duit. Hal ini kerana dia mahu pihak media dan peminat percaya di sebalik kejayaan yang dikecapi City adalah disebabkan taktikalnya dan bukan kerana jumlah wang yang dihabiskan untuk mendapatkan pemain baru sepanjang tempoh dua tahun ini.

 

5. Pengganti Pogba

Jika kehilangan Pogba adalah suatu mimpi ngeri, bayangkan Mourinho menggantikan dia dengan Marouane Fellaini.

Fellaini sememangnya bukanlah pemain kegemaran peminat United, tetapi dengan ketinggian dan saiz badan yang besar, dia mampu menggalas tanggungjawab jika diamanahkan oleh Mourinho untuk corak bertahan.

Walaubagaimanapun, kebanyakan peminat United semestinya lebih mengharapkan gandingan Matic dan juga Mctominay. Walaupun tidak sehebat Pogba, gandingan Matic-Mctominay berjaya menghalang serangan trio Liverpool, sesuatu yang pemain tengah Man City tidak mampu lakukan.

 

6. Dibenci peminat Man United

Peminat Manchester United akhirnya dapat merasai perasaan dikhianati apabila kehilangan pemain bintang mereka, sama seperti peminat Arsenal yang terlebih dahulu merasai perasaaan itu apabila kehilangan Van Persie dan juga Sanchez.

Walaupun ini bukan kali pertama Pogba meninggalkan Old Trafford, perasaan benci kali ini akan bertambah jika dia berhijrah ke Man City.

 

7. ‘Dab’ dan gaya rambut

Paul Pogba bukan hanya membawa bakat dan juga skill ke Etihad, tetapi juga personaliti mewah dia termasuk, gaya rambut pelik, gemar bermain social media dan juga cara meraikan gol. Sudah bersediakah peminat City?

 

Foto Kredit : socceronsunday(dot)com